Hari Yuri (Rusia: Юрьев день , Yuriev Den) ialah istilah Rusia bagi salah satu dari dua pesta Saint George yang disambut oleh Gereja Ortodoks Rusia.
Pesta St George yang disambut Gereja Ortodoks Rusia bersama-sama dengan gereja Kristian yang lain jatuh pada 23 April dalam kalendar Julian, dan pada 6 Mei dalam kalendar Gregorian barat. Selain itu, Gereja Rusia juga menyambut ulang tahun pengeramatan Gereja St George di Kiev oleh Yaroslav I yang bijaksana (1051) pada 26 November (kalendar Julian), yang kini jatuh pada 9 Disember. Salah satu bentuk Rusia bagi nama "George" ialah Yuri, maka kedua-dua pesta terkenal dengan nama Vesenniy Yuriev Den (Hari Yuri pada musim bunga) dan Osenniy Yuriev Den (Hari Yuri pada musim luruh).
Hari Yuri pada musim luruh yang disambut ketika musim menuai memiliki kepentingan yang istimewa dalam kalendar petani Rusia pada kurun-kurun sistem perhambaan Rusia dibentuk. Sudebnik 1497 telah menetapkan tempoh dua minggu ketika Hari Yuri musim luruh (seminggu sebelum pesta dan seminggu selepasnya), sebagai waktu dalam setahun yang membolehkan petani Rusia bebas berpindah dari satu tuan tanah kepada yang lain. Seratus tahun kemudian, pentadbiran Boris Godunov telah mengeluarkan perintah larangan perpindahan para petani pada Hari Yuri, yang memuktamadkan evolusi perhambaan Rusia.
Satu ungkapan Rusia yang terkenal mengingatkan kembali peristiwa tersebut yang masih kekal hingga hari ini (diterjemahkan, "anda mendapatnya, nenek, Hari Yuri", merujuk kepada janji yang tidak ditunaikan).